Pages

Friday, May 7, 2010

Cara-cara Melingkupkan Perniagaan Anda

Anda tidak mahu berjaya dalam perniagaan anda? Ketahuilah cara-caranya:-
  • Jangan gunakan telefon bimbit
    Apabila telefon bimbit tidak dipakai, pelanggan anda akan susah untuk menghubungi anda. Apabila mereka naik bosan, mereka pun akan melupakan anda.

  • Jangan iklankan perkhidmatan / perniagaan anda
    Anda ada komputer berprestasi tinggi yang mampu menghasilkan iklan melalui perisian seperti Adobe Photoshop atau pun MS Office? Jangan gunakan komputer anda untuk merekabentuk iklan. Sebaliknya, layarilah laman Facebook dan laman web lucah jika anda tak kenal dosa.

  • Jangan bikin laman web
    Laman web yang berfungsi 24 jam, boleh menggantikan lot kedai anda yang semakin kurang dilawati pembeli tatkala kegawatan ekonomi. Tak usah bikin laman web. Anda hanya perlu tunggu pelanggan di lot kedai anda sambil bermain games di komputer riba anda. Dengan duduk di hadapan komputer riba sahaja wang akan mengalir deras.

  • Jangan layan kerenah pelanggan
    Anda miliki ramai pelanggan yang cerewet? Mereka ini adalah 70% daripada semua pelanggan anda? Jangan layan mereka ini. Biar Hanief yang sapu semua mereka ini. Biar Hanief dapat untung. Jika anda mahu untung, kahwinlah dengan mana-mana Datuk atau Tan Sri.

  • Jangan tawar perkhidmatan dari pintu ke pintu
    Ramai orang mahu berjimat. Harga minyak melambung dan jalan sering sesak. Perkhidmatan dari pintu ke pintu sangat popular di negara maju. Negara membangun seperti Malaysia akhirnya akan menuju ke arah itu. Tetapi anda tidak perlu lakukan perkhidmatan dari pintu ke pintu. Anda hanya perlu menyalahkan kerajaan dan ekonomi serta para pelanggan yang malas untuk datang ke kedai anda.

  • Jangan tawarkan harga murah
    Kekalkan harga barangan anda dengan harga yang mahal. Kerana harga murah akan menyebabkan anda perlu berpuasa. Harga murah juga akan menyebabkan anda tidak dapat membayar bil dan sewa kedai. Lagi pun pembeli suka membeli barangan yang mahal, kerana harga yang mahal membuatkan mereka kelihatan bergaya di waktu pembayaran.

  • Jangan berterus-terang
    Anda perlu berpura-pura kaya. Bikin perniagaan anda di premis yang sewanya mahal. Perabot premis anda perlu tampak mewah dan bergaya. Walaupun anda tak ada duit. Anda wajib berhutang supaya perniagaan anda dilihat berprestij dan bertahap antarabangsa. Ah Long pun suka anda nanti.

  • Jangan gajikan pekerja dengan gaji setimpal
    Pekerja hendaklah digajikan dengan gaji yang cukup-cukup makan sahaja. Biarkan mereka kurus melidi dan terpaksa menjalankan perniagaan sampingan seperti MLM dan lain-lain bagi menampung anak bini. Barulah perniagaan anda akan menjadi rancak dengan adanya pekerja yang seperti ini.

  • Jangan tumpukan pada perkara pokok
    Jika anda ada pelanggan masuk ke kedai, jangan tanya nak beli apa. Sebaliknya tanya samada dia masih bujang atau pun sudah berkahwin. Paling bagus minta nama Facebooknya sekali serta bertukar nombor telefon.

  • Jangan tepati masa
    Pejabat atau pun kedai mestilah dibuka dengan sesuka hati. Tak perlu ada disiplin. Lagi lambat lagi bagus. Jika ada pelanggan bertanya kenapa, berilah 1001 alasan. Kerana orang yang berjaya, lazimnya memiliki 1001 alasan juga. Maksud saya alasan kenapa mereka tak mahu perniagaan mereka gagal.

  • Jangan lakukan kerja anda sendiri
    Ali-Babakan kerja anda pada syarikat lain. Kerana dengan kaedah Ali Baba, anda boleh kehilangan pelanggan. Kerana apa yang dicari pelanggan ialah orang yang boleh terus buat kerja. Semua orang benci orang tengah.

  • Jangan belajar benda baru
    Di zaman yang mencabar ini, ada banyak perkara baru yang perlu dipelajari. Khususnya dalam hal IT. Bill Gates dan Steve Jobs ini sering menyusahkan anda sahaja. Persetankan IT ini semua dan terus bekerja dengan cara lama. Serahkan semuanya bulat-bulat pada pekerja anda yang celik IT. Kelak mereka boleh curi tulang dan kelentong anda dalam hal IT. Barulah perniagaan anda akan maju selepas itu.

  • Jangan permudahkan dan perjelaskan urusan
    Untuk memajukan perniagaan anda, benda-benda remeh-temeh dan prosedur yang terselindung mestilah diselitkan. Kerana apabila pelanggan anda terkeliru dengan semua itu, anda boleh meraih untung besar. Kemudian mereka semua akan beralih arah dan malas lagi hendak berurusan dengan anda.

  • Jangan bersabar atau berusaha keras
    Anda tak perlu bersabar dalam berniaga. Sikit-sikit tak akan jadi bukit, bahkan sikit-sikit akan menjadi semakin sikit. Apa yang penting ialah untung dan tamak. Tambahan anda bukanlah seorang yang suka bekerja keras. Anda tak suka berpeluh-peluh. Maka anda perlulah menindas pelanggan dengan sifat tamak haloba anda dengan meletakkan harga atau caj yang tinggi. Percayalah, dalam masa 3 bulan anda boleh jadi jutawan yang tidak sabar.

SUMBER

    No comments:

    Post a Comment